-BRIDGET DES JOANNES (D20211100025)
Dasar
Pendidikan digubal untuk menjamin sistem pendidikan agar dapat berjalan secara
serentak, menyeluruh dan seragam. Dasar-dasar pendidikan merupakan pengantar
atau media yang khusus bagi menjelmakan idealisme, falsafah, matlamat dan
objektif pendidikan negara. Dasar pendidikan Malaysia mengambil kira
kepelbagaian budaya, etnik dan kedudukan geografi. Dasar-dasar pendidikan di
Malaysia terbahagi kepada empat iaitu Dasar Kebajikan, Dasar Solusi, Dasar
Kawalan dan Dasar Inovasi. Oleh itu, dasar-dasar ini mempunyai kepentingan
terhadap kecemerlangan pendidikan Malaysia.
Dasar Kebajikan adalah untuk
memberikan bantuan bagi menampung keperluan bersekolah khususnya kepada pelajar
yang datang daripada keluarga susah. Dalam hal ini, pendidikan merupakan satu
perkhidmatan yang mampu mengubah tahap pemikiran, keilmuan, kemahiran, dan
kemanusiaan kepada tahap yang lebih tinggi. Kerajaan akan menyediakan
peruntukan kewangan yang besar untuk menaja projek-projek pembangunan dan
perkhidmatan untuk kegunaan para pendidik dan pelajar agar proses penyampaian
ilmu berjalan dengan lebih lancar. Sebagai contoh, Dasar Bantuan Kewangan
seperti pemberian biasiswa, PTPTN dan KWAMP, Bantuan Pendidikan seperti RMT,
Skim Susu dan derma, Pinjaman Buku Teks dan Perlindungan Pelajar. Melalui dasar
ini, setiap rakyat akan mendapat pendidikan yang berkualiti dan seterusnya
melahirkan banyak pelajar yang cemerlang.
Dasar Solusi pula adalah untuk menyelesaikan
masalah yang memfokuskan kepada aspek sosial dan ekonomi. Dasar ini berbentuk
reaktif kerana bertujuan untuk mengatasi masalah yang timbul seperti merapatkan
jurang para pelajar yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, bangsa dan
status sosioekonomi. Hal ini demikian kerana interaksi yang berlaku sering
mengalami gangguan dan halangan. Dasar ini juga dapat mengelakkan daripada
berlakunya keciciran pelajar dan juga menjadikan sekolah sebagai tempat yang
selamat untuk menimba ilmu dan bersosial. Oleh itu, dasar-dasar solusi dalam
pendidikan mensejajarkan semula hala tuju, pelaksanaan dan perancangan dalam
bidang pendidikan. Contohnya, kerajaan telah melaksanan dasar 1Murid 1Sukan,
Sekolah Selamat dan Keciciran Sifar. Jelaslah bahawa, Dasar Solusi ini dapat
meningkatkan kecemerlangan pendidikan Malaysia apabila semua penduduk tanpa
mengira perbezaan dapat menimba ilmu dengan sama rata.
Dasar Kawalan juga mempunyai
kepentingan terhadap kecemerlangan pendidikan Malaysia iaitu dengan memberi
tumpuan terhadap disiplin para pelajar. Dalam hal ini, mendisiplinkan merupakan
penerapan dasar legislatif dalam bentuk akta yang mengenakan syarat dan
hukuman. Setiap individu yang bergelar pendidik dan pelajar perlu mematuhi
perkara-perkara yang termaktub dalam Dasar Kawalan agar mereka tidak dikenakan
hukuman. Akta ini bertujuan sebagai pencegahan, pengajaran dan peringatan agar
tidak berlaku kejadian yang tidak diingini dalam menimba ilmu. Antara contoh
dasar yang perlu dipatuhi ialah Kod Etika, Akta Pendidikan 1996 dan
Undang-undang Pendidikan. Tegasnya, Dasar Kawalan ini penting untuk memastikan
setiap guru dan pelajar menjadi seorang yang lebih berdisiplin dan menjamin
kecemerlangan pendidikan Malaysia.
Dasar Inovasi pula turut memiliki
kepentingan terhadap kecemerlangan pendidikan Malaysia. Hal ini demikian kerana
dasar ini bertujuan untuk membawa dan memberi pembaharuan dalam pendidikan
negara. Dasar ini juga bersifat futuristik-pragmatik kerana membawa pendidikan
kepada keadaan yang lebih baik dari tahap yang sedia ada. Dalam konteks ini,
pendidikan di Malaysia akan sentiasa diperbaiki jika terdapat sebarang
kelemahan dari semasa ke semasa. Penambahbaikan ini akan menjadikan pendidikan
di Malaysia terus berkembang maju selaras dengan negara-negara moden yang lain.
Antara contoh dasar inovasi di Malaysia ialah Sekolah Berprestasi Tinggi, TVET,
penggunaa ICT dalam Pendidikan dan Sekolah Bakat yang meliputi Seni dan Sukan.
Kesimpulannya,
dasar merupakan suatu kerangka, panduan, pelan dan strategi yang dirancang
untuk menterjemahkan wawasan kerajaan kepada suatu program dan tindakan untuk
mencapai hasrat yang diingini. Proses pembuatan dan pelaksanaan sesuatu dasar
memerlukan perancangan yang teliti dan sistematik demi mencapai matlamatnya.
Oleh itu, kesemua dasar-dasar pendidikan ini memainkan peranan yang penting
dalam memastikan kecemerlangan pendidikan di Malaysia terus berkembang.
Comments
Post a Comment