-WANIE SHAFIKA BINTI ABDULLAH (D20211100026)
IMPLIKASI PELAKSANAAN DASAR-DASAR PENDIDIKAN MALAYSIA TERHADAP PEMBANGUNAN INSAN DAN NEGARA
1. Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)
PPSMI telah diperkenalkan
pada tahun 2003 secara berperingkat iaitu pada peringkat sekolah rendah bermula
dengan Tahun 1 diikuti pada peringkat menengah bermula dengan Tingkatan 1
sehingga Tingkatan 6. Pelaksanaan penuh bagi sekolah menengah adalah pada tahun
2007 manakala bagi sekolah rendah pula pada tahun 2008 namun dimansuhkan
sepenuhnya pada tahun 2012. Terdapat kemerosotan yang ketara bagi subjek Sains
dan Matematik apabila dasar ini dilaksanakan sekaligus menyebabkan penurunan
kedudukan murid Malaysia dalam subjek Sains menurun ke posisi 21 daripada
posisi 20 manakala bagi subjek Matematik pula menurun ke posisi 20 daripada
posisi 10 pada tahun 2003 menurut Trends in Mathematics and Science Study 2007
yang menjalankan kajian antarabangsa melibatkan lebih 49 buah negara yang terlibat.
Dari implikasi positif pelaksanaan dasar ini terhadap pembangunan insan ialah melahirkan generasi yang mahir dalam menguasai ilmu sains dan matematik bagi mendorong kepada keberhasilan penyerapan ilmu teknologi daripada Barat dan negara-negara maju yang lain dengan adanya kemahiran berbahasa Inggeris bagi memudahkan hubungan dan komunikasi secara peringkat global. Hal ini dapat melatih dan mempersiapkan generasi yang mampu bersaing hingga ke peringkat antarabangsa dan memudahkan berlakunya pemindahan teknologi dan kecekapan komunikasi dari negara-negara lain dengan adanya kemahiran untuk menterjemahkan ilmu sains dan matematik daripada negara-negara luar untuk penciptaan dan pemindahan masuk teknologi ke dalam negara.
Implikasi positif terhadap
pembangunan negara pula adalah pembentukan negara dengan pembangunan ekonomi
berasaskan pengetahuan. Hal ini berlaku dengan adanya penduduk bijak yang dapat
mencetus revolusi ekonomi negara dengan adanya pemindahan teknologi yang
berlaku bagi memudahkan proses pelaksanaan dalam setiap sektor ekonomi.
Penggunaan teknologi dan mesin canggih dalam sektor ekonomi seperti pertanian
dapat meningkatkan hasil pertanian berlipat kali ganda terutamanya pertanian
padi sawah yang dulunya hanya boleh dijalankan sekali setahun namun kini dapat
dijalankan sebanyak 3 kali setahun dengan adanya bantuan teknologi begitu juga
dengan sektor perindustrian yang dapat memaksimumkan output dengan kos yang
rendah dalam masa singkat kerana kebanyakan proses dijalankan oleh robot dan
mesin berbanding tenaga manusia yang memerlukan kos tinggi dengan produktiviti
yang rendah. Sektor ekonomi seperti perlombongan, perikanan, pelancongan dan
lain-lain juga dapat dibangunkan dengan adanya tenaga buruh mahir dalam negara
yang didorong dengan teknologi canggih hasil daripada penerimaan ilmu sains dan
matematik yang lebih luas.
Implikasi negatif
terhadap pembangunan insan ialah menimbulkan ketidaksefahaman dalam kalangan
individu. Pelajar yang menggunakan dasar tersebut dalam pembelajaran mereka
terutamanya pelajar luar bandar yang menghadapi pelbagai cabaran dari segi
akses kepada pendidikan, ekuiti pendidikan dan sebagainya masih berada dalam
keadaan kekeliruan yang memerlukan mereka untuk beradaptasi dengan perubahan
dalam masa yang singkat bagi menguasai sains dan matematik menggunakan bahasa
Inggeris. Secara individu, pelaksanaan dasar tersebut menyebabkan berlakunya
penurunan prestasi yang sangat ketara terhadap subjek sains dan matematik
setelah dasar tersebut dilaksanakan sehingga turut mempengaruhi kedudukan
negara dalam peringkat antarabangsa menurun dalam bidang subjek tersebut.
Kesan negatif terhadap pembangunan negara pula adalah negara kekurangan sumber tenaga mahir dalam bidang sains dan matematik yang akan menyebabkan pembangunan negara terjejas. Hal ini dikatakan demikian kerana kegagalan penyampaian ilmu tersebut kepada pelajar yang kurang memahami atau langsung tidak memahami penggunaan bahasa Inggeris dalam silibus yang disampaikan. Hal ini menjejaskan penerimaan ilmu sains dan matematik begitu juga dengan ilmu bahasa Inggeris yang menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dari peringkat awal. Perkara ini juga memberi kesan kepada bahasa kebangsaan yang akan semakin kehilangan identiti disebabkan kurangnya penggunaan bahasa dalam pendidikan formal dan sebagai bahasa pengantar.
2. Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI)
Dasar MBMMBI
diperkenalkan setelah pemansuhan Dasar PPSMI pada tahun 2009 dan dasar ini
telah dilaksanakan secara berperingkat (soft-landing) bermula pada tahun 2010.
Sekolah Melayu, Cina dan Tamil boleh memilih sama ada mahu menggunakan bahasa
pengantar masing-masing ataupun bahasa Inggeris bagi subjek sains dan matematik
dalam proses peralihan dengan tujuan dapat menyesuaikan proses pengajaran dan
pembelajaran yang melibatkan guru dan pelajar dengan perubahan dasar tersebut.
Dasar ini diperkenalkan bagi memenuhi matlamat pendidikan dan kerajaan yang
menjadikan bahasa Malaysia sebagai alat perpaduan antara kaum sekaligus
memantapkan penguasaan bahasa Inggeris sebagai kemahiran asas dalam
berkomunikasi bagi menghadapi persaingan dan usaha dalam mendapatkan ilmu
baharu dengan lebih luas. Memartabatkan Bahasa Melayu didefinisikan sebagai
kedudukan tertinggi bahasa tersebut sebagai bahasa kebangsaan seperti yang
termaktub dalam Perlembagaan dan juga fungsinya sebagai bahasa pengantar dalam
pendidikan selaras dengan Akta Pendidikan 1996.
Implikasi positif pelaksanaan dasar ini terhadap pembangunan insan ialah menghasilkan individu yang fasih bertutur dalam bahasa Malaysia dan Inggeris untuk menjadi lebih berpengetahuan dengan berupaya menguasai pelbagai bidang ilmu yang ada. Penguasaan terhadap kemahiran berkomunikasi dalam pelbagai bahasa terutamanya bahasa global iaitu Inggeris mampu menjadi nilai tambah kepada individu untuk menghadapi persaingan yang semakin hebat sama ada di peringkat tempatan mahupun peringkat dunia. Insan turut dilengkapi dengan jati diri yang kukuh melalui kefasihan penggunaan bahasa kebangsaan dan mampu membina ciri progresif dalam menghadapi perubahan yang sentiasa berlaku sekaligus bersifat dinamik bagi menyesuaikan diri dengan setiap perkara baharu.
Implikasi positif terhadap pembangunan negara pula adalah membentuk negara berpendudukan progresif. Ketersediaan rakyat dalam menguasai sesuatu bahasa baharu jelas menunjukkan bahawa mereka yakin dengan keupayaan diri bagi mengembangkan kemahiran diri selaras dengan perkembangan global. Penggunaan bahasa Malaysia dan Inggeris yang dipupuk pada peringkat sekolah berupaya untuk mencapai matlamat perpaduan bagi membangunkan ekonomi negara. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat lebih cenderung kepada perkara-perkara baharu dan gemar untuk meneroka ilmu baharu bagi menghadapi persaingan dalam skala yang lebih luas bagi kepentingan negara. Pemindahan teknologi ke dalam negara berlaku dengan kerap apabila masyarakat mempunyai sifat yang lebih terbuka dan berfikiran maju. Situasi ini dapat dibuktikan melalui pembentukan awal usaha menekankan penggunaan bahasa Inggeris dan juga pemupukan keyakinan dalam bertutur bahasa kebangsaan. Masyarakat menerima dasar yang dilaksanakan bagi menghadapi kemajuan yang akan menguntungkan pembangunan negara dan juga rakyat.
Implikasi negatif terhadap pembangunan insan ialah kurangnya penguasaan terhadap ilmu yang dipelajari. Hal ini dikatakan demikian kerana wujudnya kesukaran untuk memahami silibus yang disampaikan dalam dwibahasa yang mengelirukan pelajar. Keberkesanan penyerapan ilmu adalah sukar dan mencabar apabila pelajar perlu menggunakan dua bahasa dalam masa yang sama bagi suatu subjek yang dipelajari. Perkara ini menjadi suatu cabaran kepada pelajar yang berada di kawasan luar bandar apabila penguasaan bahasa Inggeris diperlukan bagi memahami subjek dan pengajaran yang disampaikan lebih-lebih lagi kerana mereka kurang terdedah dengan kemudahan pendidikan dan masih jauh tercicir berbanding pelajar di kawasan bandar. Perkara ini menunjukkan ketidakseimbangan akses pendidikan yang wujud bagi pihak di kawasan luar bandar untuk menggunakan dasar yang seragam seperti yang digunakan oleh pihak di kawasan bandar.
Implikasi negatif
terhadap pembangunan negara pula adalah pembangunan negara akan terbantut. Hal
ini disebabkan oleh keterjejasan ekonomi yang kurang mempunyai sumber tenaga
manusia mahir dan profesional dalam bidang masing-masing kerana tidak mempunyai
penguasaan bahasa Inggeris yang baik bagi mendapatkan ilmu yang holistik dalam
skop global. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan ilmu diserap dan
diambil daripada Barat ditulis dalam bahasa Inggeris bagi menambahkan kualiti
pengetahuan dalam setiap bidang terutamanya bidang sains dan teknologi yang
banyak tercetus dan dihasilkan oleh masyarakat Barat. Penguasaan yang rendah
terhadap bahasa pengantar global menyebabkan kerjasama dalam pemindahan
teknologi atau kepakaran daripada negara luar juga sukar untuk terjadi
menyebabkan negara masih sulit untuk mendapatkan status negara maju.
3. Dasar 60:40
Dasar 60:40 menetapkan
jumlah penyertaan pelajar dalam bidang sains teknologi dan sastera dengan
nisbah 60:40 yang menunjukkan bahawa dasar ini lebih memfokuskan kepada
pencapaian sains berbanding sastera. Dasar ini telah diperkenalkan sejak 1967
berdasarkan aspirasi Wawasan 2020 yang bermatlamatkan pencapaian taraf negara
sebagai negara maju menjelang 2020. Penetapan matlamat dasar oleh kerajaan
adalah bagi mewujudkan lebih banyak tenaga profesional dalam bidang sains
seperti saintis, jurutera, doktor dan lain-lain bagi membangunkan sektor
ekonomi dan sosial selaras dengan peningkatan persaingan dunia selain daripada
pertambahan populasi penduduk negara dan kualiti sosial. Kerajaan yakin bahawa
pendidikan mampu membantu matlamat negara untuk menjadi negara perindustrian
terutamanya dari segi penekanan terhadap bidang sains teknologi.
Implikasi positif pelaksanaan dasar ini terhadap
pembangunan insan ialah membentuk individu yang berkarakter. Pembentukan
perwatakan yang lebih berpengaruh mampu menampilkan pengaruh yang positif dan
berdaya saing. Pemupukan bidang sains teknologi di peringkat sekolah berupaya
untuk melatih individu untuk berfikir secara lebih saintifik dan maju untuk
diterapkan dalam kehidupan sekaligus bersifat kreatif dan inovatif bagi
menangani setiap permasalahan yang wujud. Hal ini jelas akan mendorong kepada
penciptaan kaedah atau teknologi baharu yang akan memudahkan kehidupan rakyat
dengan memaksimumkan kualiti di samping meminimumkan kos penciptaan teknologi.
Hal ini menyebabkan wujudnya lebih banyak sumber manusia dengan kepakaran dan
profesionaliti yang tinggi dalam bidang sains teknologi seperti yang diusahakan
oleh Wawasan 2020 iaitu mewujudkan masyarakat saintifik selaras dengan
keinginan Tun Dr. Mahathir iaitu pencetus kepada aspirasi tersebut yang
menginginkan rakyat Malaysia supaya menjadi pencipta atau pencetus kepada
sesuatu penciptaan berbanding terus menjadi pengguna teknologi yang dicipta
oleh negara lain.
Implikasi positif terhadap pembangunan negara pula
ialah menghasilkan tenaga buruh yang berkepakaran tinggi. Sumber tenaga manusia
negara yang berpusatkan inovasi bagi memenuhi keperluan negara berupaya
membantu pencapaian tahap maju dalam usaha negara membangunkan ekonomi dan
sosial. Penguasaan bidang sains dan teknologi akan menjadikan Malaysia lebih
bersedia bagi membina kekuatan dan kelebihan untuk bersaing dengan
negara-negara maju dan negara-negara membangun yang lain. Hal ini dapat dilihat
apabila negara maju seperti Jerman dan Jepun sering mengutamakan bidang
tersebut dalam agenda belanjawan pendidikan negara masing-masing dengan tujuan
mempergiatkan atau menambahbaik kualiti teknologi mereka. Malaysia bukan sahaja
memfokuskan kebergantungan terhadap sumber modal dan pembangunan teknologi
tetapi sebaliknya perlu menitikberatkan kualiti dan kuantiti sumber manusia
yang boleh menguasai sains dan teknologi terkini bagi mencapai usaha untuk
menjadi negara berorientasikan perindustrian.
Implikasi negatif terhadap pembangunan insan ialah
keupayaan dan potensi individu tergugat. Hal ini dikatakan demikian kerana
kurangnya pendedahan terhadap bidang ICT dan tidak mendapat pendidikan dalam
bidang tersebut secara khusus tetapi sebaliknya hanya disampaikan di sekolah
secara umum sahaja pada peringkat sekolah. Hal ini menyebabkan pelajar tidak
peka terhadap kepentingan ilmu ICT untuk kegunaan pada masa hadapan bagi
menghadapi persaingan global yang lebih kompetitif. Pengutamaan terhadap bidang
sains akan menyebabkan wujudnya persaingan yang sangat tinggi dalam kalangan
individu yang terlibat secara aktif dalam bidang sastera. Hal ini akan
mewujudkan isu pengangguran dalam kalangan ilmuwan sastera atau graduan lepasan
sastera kerana penawaran pekerjaan dalam bidang sastera menjadi terhad.
Implikasi negatif terhadap pembangunan negara pula
adalah berlaku pembaziran yang tidak menguntungkan negara. Hal ini dikatakan
demikian kerana pelaksanaan dasar ini akan memfokuskan kursus-kursus yang
kurang penting bagi pembangunan negara terutamanya kursus dalam bidang sastera
yang tidak memberi sumbangan yang maksimum dalam kemajuan negara. Pelaksanaan
dasar ini membebankan kewangan negara untuk membangunkan dasar ini daripada
awal dengan risiko pulangan atau hasil yang menguntungkan atau hanya merugikan
setiap ringgit yang dilaburkan. Hal ini dikatakan demikian kerana dasar ini
menghadapi cabaran-cabaran bagi menjayakan usahanya terutama cabaran yang
dihadapi oleh pihak kerajaan, guru dan pelajar. Cabaran bagi pihak kerajaan
adalah faktor kekurangan modal pelaksanaan disebabkan keadaan ekonomi negara
membangun masih belum stabil sepenuhnya, cabaran bagi pihak pelajar pula adalah
dari segi masalah ketersediaan prasarana di sekolah luar bandar terutamanya
menyebabkan akses yang rendah kepada pendidikan yang disampaikan manakala
cabaran bagi pihak guru pula adalah kekurangan nilai profesionalisme dalam
bidang tersebut. Hal ini menjejaskan pembangunan negara jika dasar tersebut
tidak berjaya.
4. Dasar Pendidikan Percuma
Dasar Pendidikan Percuma
telah dilaksanakan bagi mengurangkan beban kewangan pendidikan bagi keluarga
yang kurang mampu atau berpendapatan rendah. Kerajaan telah menganggarkan kos
bagi memperkenalkan pendidikan percuma adalah sebanyak RM5 bilion setahun dan
telah dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara namun tidak dilaksanakan
sepenuhnya. Dasar ini masih lagi digunapakai tetapi tidak dilaksanakan dengan
aktif seperti dasar-dasar lain kerana pendidikan bukan sepenuhnya percuma
seperti yang dilaksanakan oleh negara-negara maju. Pendidikan pada peringkat
sekolah rendah dan sekolah menengah hanya memerlukan pembayaran yuran seperti
yuran PIBG kerana kos ditanggung hampir sepenuhnya. Dasar ini masih lagi tidak
dapat dilaksanakan secara keseluruhan pada peringkat universiti disebabkan kos
pengajian yang sangat tinggi. Hal ini menyebabkan wujudnya penubuhan PTPTN
iaitu suatu bentuk badan yang menawarkan pinjaman kepada pelajar universiti
bagi melanjutkan pendidikan mereka.
Implikasi positif terhadap pembangunan insan ialah
peningkatan kadar celik huruf dalam kalangan masyarakat. Hal ini dikatakan
demikian kerana setiap individu berpeluang untuk mendapatkan akses pendidikan
yang lebih baik dan cekap dengan kos pengajian yang berpatutan. Setiap rakyat
mempunyai asas pengetahuan dan ilmu yang tinggi kesan daripada kemudahan kos
pendidikan yang ditawarkan. Hal ini juga memberi peluang kepada rakyat untuk
meningkatkan tahap pendidikan mereka dan mengasah bakat yang dimiliki bagi
meningkatkan kreativiti dan inovasi individu sebagai nilai tambah pada diri
untuk menjadi lebih berdaya saing.
Implikasi positif terhadap pembangunan negara pula
ialah menghasilkan sumber tenaga kerja mahir dan profesional dalam bidang
masing-masing. Hal ini dikatakan demikian kerana kemudahan
pendidikan yang ditawarkan dari segi pengurangan kos pengajian mampu melahirkan
insan dengan latar pendidikan menarik yang akan membangunkan negara sama ada
dari segi ekonomi, politik dan sosial yang lebih baik dan efisien. Hal ini
sekaligus menjadikan Malaysia sebagai negara yang berpenduduk bijak dengan cara
berfikir yang lebih futuristik bagi mencetuskan lebih banyak perubahan dan
pembangunan terutamanya dari segi teknologi yang berkualiti. Penerapan amalan
demokrasi pendidikan berupaya untuk membentuk sebuah sistem yang memberikan hak
dan kewajiban yang sama rata bagi setiap warganegara tidak mengira latar
belakang kaum, agama atau jantina dalam pendidikan bagi memodenkan negara.
Implikasi negatif terhadap pembangunan insan ialah
wujudnya sikap tidak bertanggungjawab dalam diri individu. Hal ini dikatakan
demikian kerana terdapat segelintir pelajar yang mengambil mudah terhadap
pendidikan apabila kos pengajian ditanggung dan dibayar oleh kerajaan. Hal ini
menyebabkan berlakunya halangan terhadap usaha pembangunan insan yang akan
menjadi revolusi bagi masa depan negara kerana sikap yang tidak mementingkan
pendidikan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa individu tidak memanfaatkan
kemudahan dan bantuan yang diberikan sekaligus tidak memberikan hasil bagi
setiap ringgit yang dibelanjakan. Sikap ini bukan sahaja merugikan individu
dari segi mempersiapkan diri untuk menjadi lebih kompetitif malah turut
menyebabkan kerugian kepada negara yang telah membuat pelaburan terhadap
pelajar bagi memberikan hasil yang cemerlang kepada negara.
Implikasi negatif terhadap pembangunan negara
ialah kemerosotan terhadap pembangunan negara. Hal ini dikatakan demikian
kerana kerajaan telah membelanjakan kos yang cukup tinggi bagi sektor
pendidikan tetapi hasil yang diberikan oleh individu sangat rendah dan tidak
memuaskan bagi pembangunan dan pemodenan negara. Sikap insan yang mengabaikan
pendidikan hanya menyebabkan pembaziran terhadap kos yang ditampung.
Kemerosotan dalam sektor ini juga berkemungkinan berlaku apabila rakyat tidak
lagi mengutamakan pendidikan sekaligus menyebabkan usaha negara untuk menjadi
negara perindustrian dan mencapai tahap negara maju sukar untuk dicapai.
Comments
Post a Comment